Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama pengurusan syarikat terkemuka Australia , NEXTDC Limited menunjukkan model pembangunan Pusat Data NEXTDC KL1 pada majlis pelancarannya di Kuala Lumpur pada 8 Jun 2023. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor bakal jadi pusat data negara, tawar peluang kerja bergaji tinggi buat anak muda

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 9 JUN: Selangor bakal menjadi pusat utama data negara yang menawarkan peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada anak muda susulan pelancaran Pusat Data NEXTDC kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan Selangor merupakan pusat data pertama syarikat terkemuka dari Australia NEXTDC Limited, di luar negara terbabit.

Beliau memaklumkan pengkalan data yang berpusat di Petaling Jaya dengan kapasiti 65 megawatt membabitkan pelaburan bernilai RM3 bilion dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

“Pelaburan berskala besar sebegini adalah bukti keyakinan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang komited untuk melaksanakan dasar merancakkan ekonomi termasuk memudahcara proses perniagaan bagi kesejahteraan rakyat.

“Saya menerima baik komitmen Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil, supaya Kerajaan Persekutuan meningkatkan peruntukan pembangunan bagi Negeri Selangor khusus dalam aspek infrastruktur digital termasuk 5G,” katanya di Facebook.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama pengurusan syarikat terkemuka Australia , NEXTDC Limited melancarkan Pusat Data NEXTDC KL1 dalam satu majlis di Kuala Lumpur pada 8 Jun 2023. Foto Facebook Amirudin Shari

Semalam pusat data terkemuka Australia, NEXTDC Limited mengumumkan kemasukannya ke pasaran negara ini dengan pembangunan pusat data pertama dikenali sebagai KL1.

KL1 akan menjadi kemudahan pusat data yang pertama Malaysia direka bentuk dengan skala pantas dijangka mengalu-alukan pelanggan ke dalam kemudahan itu mulai 2025.

KL1 mewakili kemasukan NEXTDC ke Asia, yang merangkumi beberapa pasaran pusat data terbesar dan paling pesat berkembang di seluruh dunia serta menganggap Malaysia sebagai pasaran optimum untuk langkah pertamanya ke rantau ini.


Pengarang :