EXCO Perumahan & Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail (kanan) serta Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir (kiri) melakukan demo pembuangan sampah sempena majlis perasmian Pusat Kitar Semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, Shah Alam pada 19 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor cadang wujud kerjaya jurukitar semula, jana pendapatan

SHAH ALAM, 19 JUN: Selangor berhasrat mewujudkan kerjaya sebagai juru kitar semula yang bertanggungjawab mengurus barangan terpakai bagi menjana sumber kewangan.

EXCO Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berkata modul berkaitan usaha itu sudah dikemukakan kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (JPK) baru-baru ini.

“Saya sudah bertemu dengan JPK dan kemukakan satu modul untuk pengurusan sampah dan hasrat kita mahu mewujudkan juru kitar semula sebagai satu profesion (kerjaya) yang diiktiraf di Malaysia.

“Juru kitar semula yang dimaksudkan adalah dia tahu menilai sampah ini sebagai contoh kaca, plastik atau kertas mana yang boleh mendatangkan keuntungan dan tidak boleh buang sembarangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Pusat Kitar Semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom di sini hari ini.

Pusat Kitar Semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, Shah Alam pada 19 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Rodziah menambah beliau yakin jawatan berkenaan akan menamatkan persepsi bahawa pengurusan sampah itu kotor.

“Sebaliknya mereka yang bekerja sebagai juru kitar semula ini boleh mendidik dan memastikan ramai faham kaedah menguruskan dan menilai sampah dengan betul.

“Insya-Allah, suri rumah juga boleh menjadikan ia (juru kitar semula) sebagai kerjaya mereka nanti, ada sijil yang kita akan sediakan nanti, ia sedang dalam perbincangan.

“Justeru, Selangor bukan hanya boleh bangga dengan pengurusan sampah yang baik di bawah KDEB Waste Management (KDEBWM) tetapi kita dapat melahirkan juru kitar semula yang diiktiraf,” katanya.

Rodziah turut memuji KDEBWM yang membuka sebuah lagi pusat kitar semula di kawasan perumahan kos rendah sekali gus berharap penduduk ada kesedaran memanfaatkan tempat itu sebaiknya.


Pengarang :