Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi (kiri) menyempurnakan majlis penyampaian hadiah bagi acara karate sempena Karnival Bakat Kebangsaan di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur
AGENDASUKANKINI

Selangor kutip 17 pingat di karnival bakat kebangsaan, duduki tangga ketiga

SHAH ALAM, 17 JUN: Selangor mengutip 17 pingat setakat hari ketiga Karnival Bakat Kebangsaan Majlis Sukan Negara (MSN) yang berlangsung di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur.

Pengarah eksekutif MSN Selangor berkata kutipan pingat itu sekali gus meletakkan Selangor yang dibarisi kira-kira 140 atlet muda berada pada kedudukan ketiga daripada 18 pasukan bertanding.

Menurut Mohamad Nizam Marjugi, tiga daripada empat pingat emas hadir menerusi acara karate wanita masing-masing kategori 47, 53 dan 54 kilogram, manakala baki angkat berat selain tujuh perak dan gangsa (enam).

“Hari ini banyak pingat diraih atlet Selangor, namun masih kekal di belakang Sabah yang mengutip lapan emas dengan keseluruhan 15 pingat. Diharap lebih banyak pingat dirangkul atlet pada hari terakhir esok,” katanya ketika dihubungi.

Menumpukan sukan angkat berat, karate, lawn bowls dan memanah, beliau berkata karnival siri pertama 2023 medan terbaik menguji prestasi atlet muda selepas berhempas-pulas menjalani latihan.

Tambah Mohamad Nizam, kejohanan yang kembali dianjur selepas terhenti akibat pandemik Covid-19 turut menjadi platform menonjolkan bakat dengan atlet berpotensi berpeluang diserap ke peringkat tertinggi.

“Kita lihat ada seorang dua yang boleh diserap ke Sukan Malaysia (SUKMA), namun masih ada masa untuk gilap dan perbetulkan agar mampu berada pada landasan betul menuju ke peringkat lebih tinggi.

“Malah kita sebenarnya tidak melihat kepada pingat diraih itu sendiri, paling penting keberanian dan kekuatan atlet memandangkan mereka di peringkat umur masih muda,” katanya.

Karnival Bakat Kebangsaan berlangsung dari 14 hingga 18 Jun.


Pengarang :