SUBANG JAYA, 8 JUN: Selangor muncul negeri pertama memperkenal garis panduan jelas berhubung penubuhan pusat jagaan dan rawatan ibu selepas bersalin untuk rujukan pengusaha.
EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata inisiatif tersebut memudahkan golongan sasar dalam menyampaikan khidmat kepada pelanggan, selain mendapat lesen operasi sah.
“Dalam masa sama, garis panduan ini dapat memastikan kebenaran merancang perubahan fizikal bangunan dan aktiviti dijalankan selamat dan dikawal pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Jadi mana-mana pengusaha boleh datang ke PBT berhampiran mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut, sekali gus mengelakkan masalah pada masa akan datang,” katanya dalam sidang media.
Terdahulu, beliau merasmikan seminar garis panduan anjuran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Hotel Empire di sini, yang turut disertai kira-kira 170 peserta seperti pengusaha pusat jagaan, wakil PBT, agensi kerajaan dan pelajar kejururawatan.
Sementara itu, Jabatan Korporat MBSJ memaklumkan garis panduan terbabit diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Februari tahun lalu untuk diguna pakai semua PBT.