Petugas kesihatan membuat pemeriksaan mata ketika Program Selangor Saring dan Derma Darah DUN Bandar Baru Klang di Klang Parade, Klang pada 7 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor Saring diteruskan dalam masa terdekat libatkan kerjasama NGO, JMB

SHAH ALAM, 21 JUN: Program pemeriksaan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri akan diteruskan dalam masa terdekat, kali ini dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata program Selangor Saring akan datang turut melibatkan badan pengurusan bersama (JMB), tanpa pembabitan wakil rakyat setempat.

“Sebelum ini program berjalan mengikut permintaan Ahli Dewan Negeri tetapi disebabkan Dewan Negeri Selangor bubar esok, Selcare akan teruskan dengan pihak lain.

“Program ini perlu kerana manfaatnya besar kepada masyarakat. Jadi kita minta penduduk mengambil peluang dengan membuat pemeriksaan kesihatan percuma,” katanya ketika dihubungi.

Selangor Saring diperkenal tahun lalu bagi membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal, terutama yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Membabitkan kos RM3.4 juta yang ditanggung sepenuhnya pentadbiran negeri, peserta boleh menjalani saringan air kencing, mata, barah pangkal rahim, payu dara dan prostat serta ujian darah.

Skim tersebut ditambah baik tahun ini dengan beberapa lagi khidmat saringan disediakan antaranya pemeriksaan gigi dan telinga selain mengadakan sesi fisioterapi.


Pengarang :