Oleh Amirul Fazli
KAJANG, 9 JUN: Sembilan kompaun dikeluarkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kepada peniaga pasar malam Bandar Sungai Long atas pelbagai kesalahan dalam operasi 6 Jun lalu.
Dalam operasi itu 115 peniaga diperiksa dan kompaun itu dikeluarkan di bawah Undang-undang Kecil Penjaja 3.
MPKj menerusi Facebook memaklumkan sebahagian besar peniaga masih belum memperbaharui lesen penjaja dan mereka diarahkan berbuat demikian di kaunter bergerak yang disediakan.

“Terdapat juga peniaga tiada permit sah berniaga di pasar malam dan penyelaras diminta berurusan dengan Jabatan Pelesenan dan Penjaja bagi peniaga yang masih belum mempunyai lesen dengan kadar segera,” katanya.
Dalam operasi itu MPKj turut menasihatkan peniaga untuk sentiasa menjaga kebersihan serta memakai pelitup muka dan menutup bahagian kepala ketika mengendalikan makanan.