SHAH ALAM, 1 JUN: Kementerian Ekonomi bercadang memperkenal sistem baharu bagi membolehkan rakyat memohon terus dana untuk projek infrastruktur berskala kecil mulai pertengahan bulan ini.
Menterinya Rafizi Ramli berkata sistem yang sedang dilengkapkan memudahkan proses permohonan dana kecil untuk membesarkan longkang atau membaiki jalan, yang sebelum ini mengambil masa panjang.
Beliau menjangka proses permohonan tanpa tapisan daripada mana-mana jabatan atau agensi akan mengambil masa sebulan berbanding tempoh bertahun-tahun yang sedang dihadapi rakyat.
“Proses sebelum ini, wakil rakyat perlu menulis surat kepada agensi kerajaan, dan kemudian perlu dipanjangkan ke kementerian berkaitan. Ia ambil masa yang lama kadang-kadang sehingga bertahun.
“Sekarang, kita akan buka kepada rakyat. Rakyat, wakil rakyat atau jabatan boleh memohon secara terus kepada kementerian tanpa melalui proses birokrasi yang melelahkan,” katanya pada sesi libat urus kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di sini hari ini.
Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim dan barisan pentadbiran Kerajaan Negeri.
Dalam pada itu, Rafizi berkata tiada isu pertindihan kuasa berlaku berikutan wang peruntukan akan disalur terus kepada agensi bertanggungjawab untuk diselesaikan.
“Sudah pasti ada syaratnya. Apa pun, kita mulakan dengan projek-projek kecil seperti baik pulih jalan raya, longkang, jambatan dan sebagainya,” katanya.