Ucapan tahniah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Kanchong Darat dan SK Seri Permai yang tersenarai Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2023. Foto Facebook Fadhlina Sidek
AGENDANASIONAL

SK Kanchong Darat, SK Seri Permai tersenarai anugerah sekolah terbaik dunia

SHAH ALAM, 16 JUN: Sekolah Kebangsaan (SK) Kanchong Darat, Banting antara dua sekolah di negara ini yang disenarai pendek dalam kelompok 10 teratas sekolah terbaik dunia.

SK Kanchong Darat tersenarai dalam kategori Gaya Hidup Sihat bagi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2023 (World’s Best School Prizes 2023).

Selain SK Kanchong Darat, sebuah lagi sekolah, SK Seri Permai di Pulau Pinang turut tersenarai dalam kategori Inovasi untuk memenangi anugerah berkenaan.

Kejayaan kedua-dua sekolah terbabit meraih perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengucapkan tahniah menerusi ciapan di Twitter hari ini.

“Salut saya buat warga pendidik dan anak-anak atas pencapaian ini, semoga terus mengorak langkah mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek turut mengucapkan tahniah kepada kedua-dua sekolah berkenaan dan berharap kejayaan itu menjadi inspirasi kepada semua.

“Kejayaan sekolah ini menunjukkan keupayaan kita berdaya cipta, mencari penyelesaian baru secara kritis dan kreatif,” katanya dalam catatan di Facebook beliau hari ini.

SK Kanchong Darat membawakan inovasi Program Minda Sihat, Warga Hebat bagi menggalakkan murid hadir ke sekolah sekali gus menangani isu obesiti kanak-kanak.

SK Seri Permai pula membangunkan inovasi meja dan ruang simpanan buku dikenali Smart and Easy Table (SnET) 2.0 bertujuan mengatasi masalah beg berat ke sekolah.

Kedua-dua sekolah itu berpeluang memenangi sebahagian daripada hadiah keseluruhan AS$250,000 (RM1.16 juta) untuk dikongsi bersama lima pemenang dengan masing-masing menerima AS$50,000 (RM231,300).

Tiga finalis teratas untuk setiap hadiah akan diumumkan September manakala pengumuman pemenang Oktober ini.

Pemenang bagi setiap hadiah dipilih oleh juri terdiri ahli akademik, pendidik, badan bukan kerajaan, usahawan sosial, kerajaan, masyarakat sivil dan sektor swasta dari seluruh dunia.

ends….


Pengarang :