Keceriaan jelas terpancar pada wajah skuad bola sepak cerebral palsy (CP) yang menewaskan Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti 3-1, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sebaik tamat masa sebenar perlawanan. Keputusan itu menyaksikan skuad negara merangkul pingat emas ke-47 pada Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di Stadium Olimpik Nasional di Phnom Penh, Kemboja. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Skuad bola sepak cerebral palsy raih emas, tamat kemarau 10 tahun

PHNOM PENH, 8 JUN: Skuad bola sepak cerebral palsy (CP) lelaki berjaya menamatkan kemarau pingat emas dalam tempoh sedekad selepas menewaskan Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti 3-1 pada hari keenam Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di sini, malam ini.

Penentuan penalti terpaksa dijalankan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sebaik tamat masa sebenar perlawanan di Stadium Olimpik Nasional, sekali gus memperbaiki pencapaian dua pingat gangsa yang diraih skuad negara di APG edisi 2013 (Myanmar) dan 2017 (Kuala Lumpur).

Anak buah Asnan Md Zuki kali pertama membuat penampilan dalam APG di Naypyidaw, Myanmar pada 2013.

Keputusan itu malah menyaksikan skuad negara unggul merangkul pingat emas ke-47 negara di Kemboja, disertai 38 perak dan 28 gangsa hari ini.

Bagaimanapun, temasya dwitahunan yang akan melabuhkan tirainya esok masih berbaki satu acara iaitu badminton.

Tumpuan kontinjen negara esok pastinya terarah kepada kem badminton yang mengesahkan slot final menerusi tiga acara iaitu Mhd Amin Burhanuddin (perseorangan lelaki SL4- kecacatan fizikal).

Pemain berusia 31 tahun itu akan membuat perhitungan bersama pemain Indonesia Hikmat Ramdani pada aksi final perseorangan SL4, untuk mengubah warna pingat gangsa yang dimenanginya pada edisi lalu di Solo, Indonesia kepada emas, esok.

Selain itu, Muhammad Ikhwan Ramli akan mengambil bahagian dalam acara perseorangan lelaki WH1- berkerusi roda serta beregu lelaki WH1-WH2 bersama Noor Azwan Noorlan.

Muhammad Ikhwan perlu mempamerkan aksi terbaiknya pada aksi final sekiranya beliau mahu mempertahankan kedua-dua kejuaraan yang dimenanginya di Solo.

— BERNAMA


Pengarang :