AGENDAJENAYAH

Suami isteri ditahan disyaki dera anak lelaki berusia tujuh tahun

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Suami isteri ditahan kerana disyaki mendera kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di sebuah rumah teres di Taman Seri Rampai, Wangsa Maju Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas penduduk setempat melaporkan mengenai kejadian itu petang semalam.

Beliau berkata susulan laporan itu, polis menahan ibu dan bapa tiri mangsa masing-masing berusia 35 dan 37 tahun pada jam 8 malam.

“Pemeriksaan pada badan kanak-kanak itu menemukan kesan lebam di kaki dan pipi serta kesan rotan… Kita percaya kejadian dera ini masih baharu dalam tempoh seminggu atau dua minggu.

“Mangsa merupakan anak tunggal dan kini ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Taman Angkat Amanita di Taman Bukit Cheras di sini hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan suspek lelaki itu mendakwa mangsa nakal.

Beliau berkata, hasil saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine manakala wanita yang juga ibu mangsa negatif dadah.

Mohd Shuhaily berkata, pasangan suami isteri yang bekerja sebagai penjual nasi lemak itu ditahan reman lima hari bermula hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak kanak 2001.

– BERNAMA


Pengarang :