Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menandatangani proklamasi pembubaran Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-14 dalam majlis istiadat pengisytiharaan pembubaran DNS di Balai Dewan Diraja Istana Alam Shah, Shah Alam pada 19 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sultan perkenan Dewan Negeri Selangor dibubar 23 Jun

KLANG, 19 JUN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan membubarkan Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 23 Jun bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berkenan menandatangani proklamasi pembubaran DNS ke-14 pada majlis istiadat di Balai Dewan Diraja Istana Alam Shah di sini hari ini.

Sultan Selangor bertitah majlis pengisytiharan pembubaran diadakan awal berikutan keberangkatan Baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menunaikan ibadah haji esok.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melihat Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani proklamasi pembubaran Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-14 dalam majlis istiadat pengisytiharaan pembubaran DNS di Balai Dewan Diraja Istana Alam Shah, Shah Alam pada 19 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Setelah berunding dan menerima permintaan pembubaran DNS dari Dato’ Menteri Besar, Beta berkenan menandatangani proklamasi pembubaran DNS ke-14 hari ini dan akan berkuat kuasa pada Jumaat ini.

“Ini bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan. Beta dijangka kembali ke tanah air pada 4 Julai,” titah Baginda.

Terdahulu Dato’ Seri Amirudin Shari menghadap Baginda bagi memohon perkenan pembubaran DNS.

Turut berangkat ke majlis itu Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah selain dihadiri Speaker DNS Ng Suee Lim, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim dan barisan Ahli Dewan Diraja Selangor.


Pengarang :