AGENDANASIONAL

Sultan, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga balu bekas MB Selangor

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 11 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan ucapan takziah kepada waris dan keluarga Allahyarham Datin Seri Salmah Sulaiman yang meninggal dunia semalam.

Selangor Royal Office dalam kenyataan memaklumkan Allahyarham Salmah, 83, merupakan balu kepada bekas Menteri Besar Selangor Allahyarham Dato’ Seri Harun Idris.

“Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengenali Allahyarham Salmah sejak arwah suaminya berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor ke-8 dari tahun 1964 hingga 1976.

“Allahyarham Harun meninggal dunia pada 19 Oktober 2003 ketika usianya 77 tahun,” maklum kenyataan itu di Facebook.

Menurut kenyataan itu, Allahyarham Salmah dan arwah suaminya adalah pengasas Rumah Bakti Datuk Harun di Hulu Kelang pada Ogos 1966.

“Baginda dan Tengku Permaisuri Norashikin mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya.


Pengarang :