Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan ucapan ketika majlis perasmian Hospital Sultan Abdul Aziz Shah di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 28 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan titah jangan politikkan kalimah Allah, tunggu keputusan Majlis Raja-Raja

SHAH ALAM, 7 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru semua pihak tidak mempolitik, membangkit atau membahaskan isu kalimah Allah sehingga Majlis Raja-Raja membuat ketetapan muktamad.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah saranan itu bagi memastikan keharmonian hidup bermasyarakat di Malaysia kekal utuh demi menjamin kestabilan sosial dan ekonomi negara.

Baginda yang juga pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) berpandangan isu berkenaan perlu dibawa kepada MKI terlebih dahulu untuk dibincang.

Titah Baginda, tindakan itu yang dipersetujui Yang di-Pertuan Agong selaras fungsi MKI untuk menasihati Raja-Raja Melayu bagi menambah baik tadbir urus Islam pada peringkat persekutuan.

“Memandangkan perkara ini melibatkan sensitiviti agama di Malaysia, isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini perlu dimuktamadkan dengan segera oleh pihak Kerajaan Malaysia dengan penuh hikmah dan tanggungjawab,” titah Baginda dalam kenyataan.

Pada 7 Jun, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyembah maklum komitmen kerajaan untuk merujuk isu penggunaan kalimah Allah melibatkan bukan Islam di Istana Kayangan di sini.

Sultan Selangor bertitah Anwar juga bersetuju dengan cadangan Baginda untuk membawa isu berkenaan kepada MKI pada Ogos sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada Oktober.

Baginda turut menyeru semua pihak menghormati Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak dan kuasa Raja-Raja Melayu dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam.

“Penyelesaian isu ini hendaklah dibuat berhati-hati berteraskan Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan Islam sebagai agama persekutuan tanpa memprejudis hak orang lain untuk menganut dan mengamalkan agama lain dengan aman,” titah Baginda.

Pada 17 Mei, perdana menteri berkata kerajaan menerima pakai ketetapan enakmen negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada Februari untuk mengekalkan dasar sedia ada berhubung kalimah Allah.


Pengarang :