DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan titah rakyat syukuri nikmat, bantu golongan miskin

SHAH ALAM, 29 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan mengingatkan rakyat agar mensyukuri nikmat kurniaan Allah SWT selain menginsafi nasib golongan yang lebih daif.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah agar mereka yang berkemampuan sanggup berkorban untuk membantu orang miskin lebih-lebih lagi ketika sambutan Aidiladha.

“Baginda menyeru umat Islam agar bersama-sama menyempurnakan tugas dan tanggungjawab sebagai orang Islam yang patuh kepada ajaran Allah SWT dengan merapatkan ukhwah dan mempererat hubungan silaturahim,” tulis Selangor Royal Office di Facebook.

Sultan Sharafuddin yang ketika ini menunaikan ibadat haji di Tanah Suci bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin bertitah sedemikian ketika menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada umat Islam di negeri ini.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji pada 20 Jun 2023. Foto BERNAMA

Baginda turut mendoakan agar jemaah haji Malaysia dapat melakukan ibadat dengan sempurna dan dikurniakan haji mabrur selain kembali ke tanah air dengan selamat.

“Semoga pengalaman mengerjakan ibadah haji dapat dimanfaatkan agar menjadi insan yang lebih tawaduk serta mampu memperkukuh dan meningkatkan tahap keimanan dalam diri,” titah Baginda.

Pada 20 Jun lalu, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri berangkat menunaikan ibadah haji sehari selepas berkenan membubarkan Dewan Negeri Selangor bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.


Pengarang :