Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama selepas majlis penyerahan lembu korban Parlimen Gombak dan DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 28 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Sumbangan lembu ceriakan Aidiladha, bantu lebih ramai laksana ibadah korban

Oleh DIANA WAHAB

GOMBAK, 28 JUN: Keprihatinan Kerajaan Negeri menyumbang lembu bagi memastikan golongan kurang berkemampuan khususnya asnaf dapat melaksanakan ibadah korban menjadikan sambutan Aidiladha lebih bermakna.

Bagi Ketua Kampung Kalong Tengah Hulu Yam Mohd Feroz Zainal, inisiatif Kerajaan Negeri menzahirkan rasa kasih sayang dan sikap peduli rakyat bagi memastikan perayaan itu disambut meriah segenap lapisan masyarakat.

Ketua Kampung Kalong Tengah Hulu Yam Mohd Feroz Zainal

“Alhamdulillah kita bersyukur dapat sumbangan kerana jumlah haiwan yang dikorbankan setiap tahun memang tak cukup tambah pula keadaan ekonomi ketika ini.

“Biasanya cuma dapat (sumbangan) lima ekor lembu namun dengan sumbangan hari ini jumlahnya bertambah tujuh ekor. Dengan pertambahan ini, lebih ramai yang dapat kita bantu sekali gus ceriakan golongan asnaf meraikan Aidiladha,” katanya yang akan mengagihkan bungkusan daging korban kepada lebih 400 asnaf sekitar kampung berkenaan.

Terdahulu beliau ditemui pada program penyerahan 115 ekor lembu korban dan bantuan kewangan untuk Parlimen Gombak yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar di Padang Awam Batu Caves di sini, pagi tadi.

Sementara Bendahari Masjid Hospital Sungai Buloh Kamaruzzaman Mohamed berkata sumbangan yang diagihkan Dato’ Seri Amirudin Shari membantu kakitangan hospital yang kurang berkemampuan melaksanakan ibadah berkenaan.

Bendahari Masjid Hospital Sungai Buloh Kamaruzaaman Mohamed

“Jumlah keseluruhan sumbangan termasuk hari ini kita dapat 11 ekor lembu. Hasil sembelihan nanti kita akan agihkan kepada kira-kira 500 kakitangan kurang berkemampuan selain penduduk sekitar,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi sumbangan ibadah korban tahun ini dan peruntukan tersebut bertambah berbanding tahun lalu berikutan peningkatan harga lembu daripada RM5,400 kepada RM6,000 seekor.

Pertambahan jumlah lembu korban daripada 660 kepada 700 dan jumlah kambing kekal 1,000 ekor. Menerusi sumbangan itu, setiap 56 Ahli Dewan Negeri menerima empat ekor lembu dan 10 ekor kambing.

 


Pengarang :