Penerima bantuan blueprint dan bantuan i-SEED melihat peralatan yang diterima selepas majilis Penyerahan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dan Peralatan Usahawan India Selangor (i-SEED) daerah Klang di Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Klang pada 14 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Tidak perlu sewa kamera lagi, jurugambar syukur dapat bantuan negeri

KLANG, 15 JUN: Tidak perlu lagi menyewa kamera digital untuk mencari pendapatan sampingan, seorang pelajar kejuruteraan mekanikal bersyukur menerima bantuan peralatan itu daripada Kerajaan Negeri.

A Rubendran, 25, berkata beliau mula membuat perkhidmatan fotografi  secara sambilan untuk majlis perkahwinan dan konsert sejak tiga tahun lalu.

“Sebelum ini saya perlu menyewa kamera dengan kos kira-kira RM800 sehari tetapi hari ini saya bertuah kerana menerima kamera digital dan gimbal bernilai hampir RM8,000.

“Terima kasih Kerajaan Negeri, dengan bantuan ini saya akan lebih bersemangat sekali gus boleh tambah pendapatan dan bayar yuran pengajian,” katanya yang merupakan pelajar Management & Science University.

A.Rubendran
, 25

Beliau antara 31 penerima alatan perniagaan menerusi program Pembangunan dan Pemerkasaan Usahawan India Selangor (I-SEED) bagi daerah Klang yang disampaikan oleh EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau di Pejabat Daerah dan Tanah di sini semalam.

Sementara itu, M Jayaletchumy, 38, menganggap bantuan Kerajaan Negeri itu merupakan batu loncatan terutama buat kaum India untuk mengembangkan perniagaan.

Beliau yang menerima mesin jahit dan dan mesin jahit tepi bernilai RM8,000 itu amat bersyukur dan bercadang mahu menambah tempahan pakaian kelak.

“Sebelum ini saya hanya ada satu mesin jahit dan ia tidak secanggih seperti mesin saya terima hari ini. Saya yakin proses menjahit lebih cepat nanti dan pendapatan boleh meningkat.

“Terima kasih Kerajaan Selangor kerana tidak meminggirkan kaum India dan sentiasa prihatin dengan kebajikan kami,” katanya.

Program I-SEED dilancar pada April 2021 bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kaum India melalui pemberian bantuan peralatan bergantung kepada perniagaan yang diusahakan.

Antara syarat kelayakan adalah rakyat Selangor atau bermastautin lebih 10 tahun, individu dan seisi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan dan perniagaan mesti beroperasi di negeri itu.

M.Jayaletchumy
, 38

 


Pengarang :