AGENDAJENAYAH

Tiga lelaki ditahan, simpan senjata api, peluru, bom, alat hasil senjata

KUALA PILAH, 28: Tiga lelaki yang menyimpan pelbagai jenis senjata api, peluru, bom dan peralatan membuat senjata ditahan polis yang menyerbu tiga lokasi berasingan di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Gani berkata anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Pilah melakukan serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Gemencheh Ulu susulan maklumat dadah pada jam 6.30 pagi Isnin lalu dan menahan lelaki berusia 30-an.

Beliau berkata, susulan serbuan itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Pilah membuat serbuan di dua lokasi berbeza di Johol jam 7.30 petang hari sama dan menangkap dua lelaki berusia 40-an.

“Pemeriksaan ke atas semua suspek menemui pelbagai senjata api, peralatan membuat senapang angin dan peluru hidup yang disimpan dan menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian.

Amran berkata, pihaknya menemui dua laras senapang angin, satu laras senapang patah buatan sendiri, satu pucuk pistol angin, 116 butir peluru hidup jenis penabur, dua peluru hidup saiz 0.38 special, sepasang gari, sebutir bom asap, sebutir bom ikan buatan sendiri dan pelbagai peralatan membuat senjata.

Katanya, semua rampasan dan suspek yang ditangkap dibawa ke IPD Kuala Pilah untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, suspek direman empat hari hingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tujuh tahun, atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.


Pengarang :