Penjualan tiket dan jadual aksi persahabatan skuad Harimau Malaya menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 14 dan 20 Jun 2023. Foto Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia
AGENDASUKANKINI

Tiket aksi persahabatan Harimau Malaya dijual mulai hari ini

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Peminat bola sepak tanah air boleh mendapatkan tiket aksi persahabatan Tier 1 bermula hari ini, melibatkan skuad Harimau Malaya menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 14 dan 20 Jun.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi laman Facebook rasminya memaklumkan penjualan tiket berharga RM30 ditetapkan bagi tempat duduk terbuka dan RM5 untuk kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun boleh didapati menerusi laman sesawang https://www.tickethotline.com.my/.

FAM turut memaklumkan tiada penjualan tiket secara fizikal di stadium dilakukan melibatkan perlawanan kedua-dua negara terbabit.

Skuad kendalian Kim Pan Gon itu dijadual berdepan perlawanan antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Kepulauan Solomon pada 14 Jun sebelum menentang Papua New Guinea bagi aksi kedua 20 Jun di stadium berkenaan.

Aksi persahabatan tersebut adalah sebagai medan persediaan Harimau Malaya menjelang Piala Asia 2023 di Qatar, Januari tahun depan.

Pasukan negara sebelum ini, mengharungi dua aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Mac, menyaksikan skuad kebangsaan mencatat kemenangan 1-0 dan 2-0 masing-masing ke atas Turkmenistan dan Hong Kong.

Stadium Nasional Bukit Jalil, yang menjadi venue keramat skuad Harimau Malaya, tidak dapat digunakan berikutan kerja penggantian rumput ketika ini.

– BERNAMA


Pengarang :