Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama barisan EXCO menunjukkan simbol 5 pada sidang media khas sempena lima tahun pentadbirannya di bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 19 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tujuh juta rakyat nikmati manfaat sepanjang lima tahun penuh mencabar

SHAH ALAM, 19 JUN: Pelbagai cabaran getir berjaya diharungi pentadbiran negeri bawah pimpinan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, yang memegang tampuk pemerintahan sejak 2018.

Meraikan lima tahun pentadbiran hari ini, Amirudin berkata tidak sekalipun pasukannya berundur atau lari daripada cabaran, bahkan disahut dan ditangani dengan keazaman demi Selangor tercinta.

Menerusi tayangan montaj, beliau berkata pelbagai pakej rangsangan diwujudkan untuk mendepani gelombang Covid-19, bantuan pascabanjir selain mengumumkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“Ini membuktikan pentadbiran negeri mempunyai rencana dan perancangan rapi demi manfaat hampir tujuh juta rakyat Selangor. Tiada yang dilupakan dan disisihkan. Setiap warga Selangor disantuni dan dibantu dalam pelbagai cara.

“Pada 2019, Kerajaan Negeri turut melaksanakan Dasar Klusterisasi Gugusan Ekonomi Selangor dengan mengkelaskan setiap daerah berdasarkan kekuatan dan potensi,” katanya.

Montaj itu ditayangkan dalam sidang media khas sempena lima tahun pentadbiran Amirudin di foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Beliau menjelaskan pentadbiran negeri terus komited dengan agenda reformasi dan memenuhi mandat rakyat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), meski dikejutkan dengan peristiwa Langkah Sheraton.

“Pada 2020, negara dikejutkan dengan pengkhianatan hingga tumbangnya Pakatan Harapan di Putrajaya.
Peristiwa Sheraton Move punca ketidakstabilan ekonomi dan politik Malaysia hingga PRU15.

“Di Selangor, saya dan barisan pimpinan bertekad untuk memastikan politik dan ekonomi negeri stabil dan kukuh,” jelasnya dalam montaj tersebut.

 


Pengarang :