Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Selangor Penyayang daerah Sepang di Kota Warisan, Sepang pada 30 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tumbuh 11.9 peratus, Selangor sumbang 25.5 peratus KDNK tahun 2022

SHAH ALAM, 27 JUN: Sumbangan ekonomi Selangor kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 25.5 peratus pada 2022, bertambah lebih baik daripada 24.8 peratus pada tahun sebelumnya.

Pertumbuhan ekonomi negeri ini juga meningkat sebanyak 11.9 peratus, melebihi pertumbuhan seluruh negara pada kadar 8.7 peratus tahun lalu.

Pada 2021, pertumbuhan KDNK Selangor juga lebih tinggi dengan 5.3 peratus berbanding 3.3 peratus di seluruh negara, demikian menurut data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Selain Selangor, pertumbuhan KDNK tiga negeri lain juga merekodkan angka melebihi kadar seluruh negara.

Pulau Pinang mencatatkan pertumbuhan paling tinggi 13.1 peratus pada 2022 walau sumbangan negeri itu kepada KDNK hanya 7.4 peratus. Pahang dan Kuala Lumpur masing-masing meningkat 10.8 peratus dan 9.2 peratus dalam tempoh yang sama.

Pahang dan Kuala Lumpur masing-masing menyumbang 4.1 peratus dan 15.9 peratus kepada KDNK tahun lalu.

Dalam laporan KDNK Mengikut Negeri Bagi Tahun 2022, prestasi ekonomi Pulau Pinang yang memberangsangkan dipacu oleh sektor pembuatan yang berkembang kukuh kepada 15.9 peratus berbanding 12.4 peratus tahun sebelumnya.

“Manakala bagi Selangor, Pahang dan Kuala Lumpur, pemacu ekonomi negeri-negeri itu adalah sektor perkhidmatan yang tumbuh pesat didorong oleh industri berkaitan pelancongan iaitu subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan.

“Selangor juga terus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju ekonomi negara apabila sektor pembuatannya turut mengukuh 9.0 peratus disokong produk elektrik, elektronik dan optikal (13.6 peratus) serta peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan (16.6 peratus),” kata DOSM dalam satu kenyataan.

Jabatan itu juga melaporkan KDNK Melaka meningkat sebanyak 8.6 peratus, disokong oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Sementara itu, pembukaan semula semua aktiviti ekonomi dan industri berkaitan pelancongan yang berkembang pesat memangkin pemulihan di Johor, yang meningkat sebanyak 8.2 peratus, diikuti oleh Kedah (7.2 peratus), Negeri Sembilan (6.4 peratus), dan Perak (4.3 peratus).

Dalam tempoh yang sama, ekonomi Sabah meningkat sebanyak 3.7 peratus, disokong oleh sektor perkhidmatan yang berkembang sebanyak 8.6 peratus, didorong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan, yang pulih sebanyak 10.4 peratus (2021: -0.4 peratus).

Pengukuhan ekonomi Sarawak kepada 6.5 peratus dipengaruhi oleh pertumbuhan 9.6 peratus dalam sektor perkhidmatan.

Mengenai prospek, DOSM berkata kesihatan ekonomi negara diunjurkan mengalami pertumbuhan sederhana, memandangkan ketidaktentuan yang berlaku dalam landskap ekonomi global.

“Indeks pelopor bagi April 2023 turut menggambarkan prestasi ekonomi akan tumbuh perlahan pada beberapa bulan ke hadapan disebabkan oleh penurunan dalam semua komponen indeks tersebut.

“Ini dapat dilihat melalui KDNK suku pertama 2023 yang menunjukkan pertumbuhan perlahan 5.6 peratus berbanding 7.1 peratus pada suku tahun sebelumnya,” katanya.

Walaupun berdepan iklim ekonomi yang tidak menentu, pasaran buruh sebaliknya terus mengukuh. Kadar penyertaan tenaga buruh pada suku pertama 2023 meningkat kepada 69.8 peratus, berbanding 69.5 peratus pada suku keempat 2022.

Begitu juga dengan kadar pengangguran yang menyusut kepada 3.5 peratus pada suku pertama 2023 berbanding 3.6 peratus pada suku tahun sebelumnya, katanya.


Pengarang :