Ahli Dewan Negeri Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman beramah mesra dengan penduduk pada majlis penyampaian sumbangan mangsa banjir dan sesi penerangan penambahbaikan bagi mengatasi banjir DUN Paya Jaras di Dewan MBSA Paya Jaras, Shah Alam pada 22 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Wakil rakyat saran dalamkan tiga sungai elak banjir kilat di Paya Jaras

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 22 JUN: Kerja melebar dan mendalamkan tiga sungai di Paya Jaras perlu dilakukan segera bagi mengurangkan risiko banjir kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Wakil rakyatnya berkata keadaan Sungai Buloh, Sungai Subang dan Sungai Kedondong yang semakin cetek dan sempit menjadi antara punca berlakunya banjir kilat sehingga menjejaskan ratusan keluarga.

Ahli Dewan Negeri Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman berucap pada majlis penyampaian sumbangan mangsa banjir dan sesi penerangan penambahbaikan bagi mengatasi banjir DUN Paya Jaras di Dewan MBSA Paya Jaras, Shah Alam pada 22 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Kita mendengar taklimat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) dan berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberikan peruntukkan pada masa terdekat bagi atasi permasalahan yang dialami penduduk Paya Jaras.

“Dengan kata lain, perlu ada kerjasama antara JPS, Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah ini,” kata Mohd Khairuddin Othman hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir dan sesi penerangan penambahbaikan atasi kejadian berkenaan di Paya Jaras.

Bertempat di Dewan MBSA Seri Pagi, Paya Jaras Tengah di sini, seramai 387 keluarga dari enam kampung di DUN Paya Jaras yang terkesan banjir pada Mac lalu menerima sumbangan RM96,750 daripada Kerajaan Negeri.

Mangsa banjir dari enam kampung di Dewan Undangan Negeri Paya Jaras beratur untuk mengambil sumbangan daripada Kerajaan Negeri di Dewan MBSA Paya Jaras, Shah Alam pada 22Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pada masa sama, Mohd Khairuddin turut menggesa JPS untuk mengadakan sesi dialog dan turun padang ke Kampung Kubu Gajah yang mengakibatkan 265 rumah terkesan akibat banjir.

“Sungai utama di Paya Jaras akan melalui kampung ini (Kubu Gajah) dan akibat limpahan air sungai ia telah memberi kesan kepada penduduk. Jika sungai berdekatan dapat dikorek dan didalamkan, ia mungkin dapat elakkan daripada berlakunya banjir teruk di kawasan itu.

“Manakala kawasan di Kampung Paya Jaras Dalam dan Tengah itu permasalahannya adalah berkaitan saliran seperti longkang tidak dalam serta tersumbat menyebabkan air naik dengat cepat,” katanya yang berharap penyelesaian daripada pelbagai pihak dapat dipercepatkan.

Sesi penerangan bersama penduduk Paya Jaras terkesan akibat banjir turut dihadiri wakil Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Sime Darby dan KDEB Waste Management.

 

 


Pengarang :