Penyayi Neves (Pretty Ugly) bercakap pada sidang media Gig Rakyat Jelata di KedaiKopiKL Ampang pada 5 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

11 kumpulan muzik gegar konsert Gig Rakyat Jelata, tiket cuma RM70  

OLEH JULIANA JOHAR

AMPANG, 5 JULAI: Sebelas kumpulan muzik tempatan bakal menghangatkan Konsert Gig Rakyat Jelata yang berlangsung di Ipoh pada 22 Julai dan Johor Bahru pada 26 Ogos depan.

Penganjur konsert Raizan Zainal Abidin yang juga vokalis kumpulan Pretty Ugly berkata kumpulan muzik yang bakal membuat persembahan ialah Couple, Muck, Nitrus, Strike Out dan Late Night Frequency.

Turut sama menghiburkan ialah kumpulan Banyak Bunyi Republik, Sabda Alam, Plague Of Happiness, Zip Zieller dan Terang Bulan.

“Kami himpunkan pelbagai genre band agar dapat beri variasi dan kelainan untuk peminat muzik. Saya harapkan gig ini akan dapat sambutan.

“Harga tiket yang dijual sangat murah, pada harga rahmah iaitu RM70,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Gig Rakyat Jelata di Kedai Kopi KL, hari ini.

Sementara itu, penganjur bersama Amiruddin Karim berharap agar sokongan diberikan kepada pemuzik tanah air setara seperti artis dari luar negara.

“Tak salah sokong dan minat artis luar tapi kami berharap sambutan terhadap band-band tempatan juga sama seperti mana yang diberikan terhadap penyanyi luar.

“Diharapkan gig ini dapat menggembalikan semua kenangan gig-gig underground yang suatu ketika dulu cukup menjadi fenomena di kalangan anak muda,” katanya.

Tiket berharga RM70 boleh didapati di https://cdbagasimusic.ubertickets.asia/. Peminat juga boleh dapatkan harga tiket pakej untuk kedua-dua lokasi konsert pada harga RM120.


Pengarang :