Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa (kanan) bertanya sesuatu dengan Pegawai Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan Mohd Khairuzzaman Mohd Latif ketika melawat reruai pameran kesihatan pada majlis pelancaran Kajian Kohort Diabetes Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)-IMU di Seremban pada 8 Julai 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

3.9 juta rakyat hidap kencing manis, RM4.9 bilion dibelanja setahun tangani diabetes

SEREMBAN, 8 JULAI: Kerajaan membelanjakan RM4.9 bilion setahun bagi melaksanakan usaha menangani penyakit diabetes dalam negara, yang dillihat begitu membimbangkan dan dianggarkan ketika ini 3.9 juta rakyat dewasa menghidap penyakit berkenaan.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 juga mendapati prevalens diabetes dalam kalangan dewasa berumur 18 tahun ke atas menunjukkan peningkatan iaitu daripada 11.2 peratus pada 2011 dan 13.4 peratus pada 2015 kepada 18.3 peratus pada 2019.

Justeru, beliau berkata usaha berterusan melibatkan semua pihak berkaitan penting dalam menangani penyakit itu termasuk menerusi penganjuran Kohort SeDia iaitu pengumpulan data jangka panjang untuk memahami interaksi kompleks antara gaya hidup, persekitaran, genetik dan pembangunan sosio-ekonomi.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program ‘Kohort Diabetes Seremban’ (SeDia) dengan kerjasama KKM dan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) yang merupakan kajian kohort berskala besar pertama menumpukan kepada pesakit diabetes, di sini hari ini.

Sementara itu Dr Zaliha berkata KKM sedang meninjau usaha bagi mempromosi penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk meningkatkan pengeluaran bekalan ubat-ubatan dalam negara, termasuk dengan melibatkan pembabitan pelbagai kementerian.

Beliau berkata ia sekali gus mampu mengurangkan kebergantungan kepada import ubat-ubatan.

– BERNAMA


Pengarang :