Pengguna Bas Smart Selangor mengimbas kod QR aplikasi CEPat serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan menjaga jarak sebelum menaiki pengangkutan awam itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun, Shah Alam pada 1 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

300,000 pengguna disasar daftar aplikasi CEPat menjelang 2025

SHAH ALAM, 21 JULAI: Seramai 300,000 pengguna disasar berdaftar dengan aplikasi pembayaran elektronik berpusat Citizen E-Payment (CEPat) menjelang 2025.

Pengarah urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) turut menjangkakan lima juta transaksi direkod dalam tempoh sama, dengan promosi bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan terus dipergiat.

Ahmad Akmal Hamzah memaklumkan pihaknya juga akan menganjurkan peraduan untuk menarik lebih ramai pengguna berdaftar dengan aplikasi itu, sekali gus mencapai sasaran ditetapkan.

“Secara kumulatif, aplikasi CEPat mempunyai pengguna berdaftar 167,597 sehingga Mei melibatkan 3.31 juta transaksi. Angka ini tidak termasuk Pejabat Tanah Galian Selangor yang baharu dilancarkan.

“Transaksi paling banyak direkod di kawasan Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Daerah Sabak Bernam,” katanya ketika dihubungi.

Beliau juga bercadang menambah baik aplikasi tanpa tunai dengan memasukkan perkhidmatan agensi lain seperti Perbendaharaan Negeri Selangor, Jabatan Perhutanan, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan Veterinar.

“Kita berhasrat menjadikan aplikasi CEPat sebagai platform pembayaran dalam talian berpusat untuk semua perkhidmatan pembayaran melibatkan Kerajaan Negeri, agensi, jabatan dan PBT,” katanya.

Ahmad Akmal menambah satu tatacara operasi piawai (SOP) khas digunakan jika timbul aduan daripada orang ramai berhubung aplikasi tersebut.

“SOP ditentukan seperti penerimaan dan verifikasi aduan, siasatan, tindakan pembaikan serta maklum balas kepada pengguna berkenaan aduan dibuat,” katanya.

Dilancar pada 1 Ogos 2019, CEPat menawarkan kemudahan permohonan lesen, bayaran cukai taksiran, kompaun, parkir dan bayaran bil utiliti.

Sehingga kini terdapat 62 perkhidmatan ditawar dalam aplikasi berkenaan meliputi 11 PBT dan tujuh medium pembayaran tersedia untuk pilihan pengguna.

Transaksi tanpa tunai itu boleh dimuat turun melalui PlayStore bagi pengguna Andorid dan AppStore bagi iOS.


Pengarang :