Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Ir Abas Abdullah (tengah) bercakap kepada media ketika sidang media laporan kelestarian Air Selangor Sdn Bhd 2022 di The Garden Mall, Kuala Lumpur pada 4 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

301,549 akaun pengguna terima manfaat skim air percuma, libat kos lebih RM30 juta

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Sebanyak 301,549 akaun pengguna menerima manfaat skim air percuma 20 meter padu sebulan setakat Disember 2022.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Ir Abas Abdullah berkata Kerajaan Negeri membiayai kos lebih RM30 juta menerusi Skim Air Darul Ehsan (SADE).

“Terkini 301,549 akaun pengguna menerima bantuan air percuma 20 meter padu serta kebanyakan mereka daripada golongan B40 dan rumah murah.

“Kempen SADE masih diteruskan dan Air Selangor sebagai agensi pelaksana menerima permohonan, mengumpulkannya sebelum mengemukakan kepada Kerajaan Negeri untuk semakan,” katanya ditemui selepas pembentangan laporan kelestarian 2022 di The Garden Mall, di sini hari ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Ir Abas Abdullah menunjukkan buku laporan kelestarian Air Selangor Sdn Bhd 2022 secara digital di The Garden Mall, Kuala Lumpur pada 4 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan pengguna mendaftarkan bil air secara atas talian (online) atau e-Bil bagi memudahkan sebarang urusan.

“Buat masa ini, 1.7 juta iaitu 65 peratus daripada 2.6 juta akaun pengguna telah beralih kepada e-Bil. Penggunaan e-Bil lebih mudah dan kita berharap sangat pengguna bertukar daripada konvensional kepada e-Bil.

“Setakat ini, kita mengambil beberapa inisiatif iaitu memfokuskan pengguna yang membayar bil air menggunakan platform digital tetapi tidak menggunakan e-Bil, buka reruai di perumahan baharu dan sasar komuniti setempat,” katanya.

Air Selangor membuka pendaftaran untuk SADE sehingga 31 Disember 2024 dan antara syarat kelayakan adalah pemohon mestilah warganegara Malaysia dan menetap di Selangor dengan pendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah.

Premis kediaman pula mestilah jenis meter individu dan pemohon hanya layak memohon untuk satu akaun sahaja.

Untuk maklumat lanjut layari https://www.airselangor.com/residen…/skim-air-darul-ehsan/.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan kira-kira 100,000 lagi akaun pengguna bakal menikmati air percuma dengan kos lebih RM30 juta dibayar sepenuhnya Kerajaan Selangor.

Ia susulan had minimum pendapatan yang layak menerima manfaat itu dinaikkan kepada RM5,000 berbanding RM4,000 sebelum ini.

Pendaftaran masih terbuka kepada penduduk Selangor sehingga 31 Disember 2024 dengan syarat kelayakan meliputi pemohon mesti warganegara Malaysia, premis kediaman jenis meter individu dan hanya untuk satu akaun sahaja.


Pengarang :