Penyandang DUN Sungai Kandis merangkap EXCO Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Negeri Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni (kiri) membantu penduduk membeli barangan keperluan asas seperti, beras, minyak, ayam, telor, ikan dan daging pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Sungai Kandis, di Dewan MPKK, Kampung Lombong, Shah Alam pada 4 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

44 JER di DUN Sungai Kandis manfaatkan puluhan ribu penduduk terutama B40

SHAH ALAM, 4 JULAI: Sebanyak 44 program Jualan Ehsan Rahmah (JER) anjuran Kerajaan Selangor berjaya dilaksana di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis sejak tahun lalu.

Penyandangnya Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu memanfaatkan puluhan ribu penduduk terutama keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Rata-rata penduduk di DUN Sungai Kandis ini terdiri daripada golongan B40, bekerja sendiri dan warga emas.

“Justeru, dengan penganjuran JER di setiap kampung DUN ini ia memudahkan mereka mendapatkan barangan asas sumber makanan pada harga mampu milik,” katanya kepada Selangorkini.

Mohd Zawawi berkata ramai penduduk meminta agar program jualan murah itu diteruskan dan lebih kerap dianjurkan.

“Insya-Allah, kita akan minta PKPS melaksanakan program ini di sini lebih kerap terutama pada hujung minggu bagi memudahkan penduduk untuk berkunjung ketika hari cuti,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Jualan murah itu adalah kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat sebelum ini yang dijenamakan semula pada 1 Jun dan diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Kos Sara Hidup.

Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata seramai empat juta penduduk Selangor menerima manfaat JER sejak dianjurkan pada September tahun lalu hingga kini.

Jualan murah berkenaan turut memberi penjimatan RM23 juta menerusi pemberian subsidi oleh Kerajaan Negeri dan PKPS menerima jumlah jualan RM45 juta dalam tempoh sama.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :