Lori roro KDEB Waste Management (KDEBWM) menghantar sisa pukal di pusat pengumpulan sisa banjir ketika Misi Bantuan Selangor Penyayang: Bantuan Pembersihan Pascabah di Chaah Tengah, Segamat, Johor pada 8 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Aduan di hujung jari, aplikasi khas selesai puluhan ribu isu sampah pukal

SHAH ALAM, 16 JULAI: Menerusi aduan hujung jari, penduduk Selangor mudah melupus perabot rosak seperti almari, katil atau sofa.

Akmal Nazamuddin, 31, cukup teruja dengan kepantasan pembersihan menerusi aplikasi iClean Selangor.

“Dua kali guna aplikasi ini. Banyak membantu untuk buang sampah pukal. Pagi semalam buat aduan, tengah hari dapat ‘call’, subuh tadi sampah sudah diangkat.

“Terbaik Selangor. Moga istiqamah dan maju. Jika rakyat Malaysia jaga kebersihan maka bersihlah negara. Ini kalilah,” tulisnya di Twitter sambil melampirkan gambar (foto kecil).

Selangor satu-satunya negeri menyediakan aplikasi khas bagi memudahkan rakyatnya membuang sampah pukal.

iClean Selangor dibangunkan KDEB Waste Management (KDEBWM), anak syarikat Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab menguruskan sisa pepejal.

Tindakan dalam tempoh 24 jam, membuktikan kecekapan pengurusan sisa pepejal dan sampah di Selangor.

“Bagi Januari sehingga Mei tahun ini, hampir 15,000 aduan diterima menerusi aplikasi ini diselesaikan.

“Tahun lepas, 36,800 kes diselesaikan iaitu satu peningkatan berbanding 30,949 kes pada 2021. Perkhidmatan ini meliputi kutipan sampah domestik, kutipan sampah pukal dan pembersihan awam,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Suri rumah, Nadzirah Alwi, 33, memuji usaha KDEBWM mengutip perabot rosak sehingga di depan rumahnya.

“Semasa kemas rumah ketika bulan puasa baru-baru ini, ada almari dan tilam yang rosak. Pernah terbaca tentang iClean Selangor, terus saya muat turun.

“Tak sangka lori datang kutip barang rosak itu sehingga depan rumah. Memang mudah kerja saya tak perlu pening kepala,” katanya.

100,000 pengguna

Selain sampah pukal, iClean Selangor memudahkan penduduk membuat aduan mengenai kutipan sisa pepejal sama ada sampah domestik dan juga pembersihan awam.

Boleh dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play Store, pengarah KDEBWM mengakui semua aduan diterima dalam aplikasi itu lebih terperinci.

“Pengguna boleh memilih kawasan mereka dengan lebih spesifik dan berkongsi gambar dalam aplikasi berkenaan,” kata Dato’ Ramli Mohd Tahir.

Pengguna juga boleh menyemak status aduan sama ada diterima, dalam proses dan telah diselesaikan.

“Selain aduan, pengguna juga boleh memberi sebarang cadangan bagi memastikan KDEBWM sentiasa cakna tentang keadaan sampah khususnya di Selangor,” tambahnya.

Digunakan lebih 100,000 pengguna berdaftar aktif sehingga Mei, aplikasi itu menang anugerah Aplikasi Perkhidmatan Awam Terbaik sempena majlis Anugerah PC.Com edisi ke-23 pada 22 Jun.

Anugerah anjuran syarikat Media Reach Publishing bertujuan mengiktiraf sumbangan syarikat terkemuka dan dipacu pengundian dalam talian pengguna.

Kewujudan iClean Selangor membantu KDEBWM menyelesaikan masalah sampah di negeri ini.

“Kita mahu membina Selangor bersih dan lebih hijau untuk generasi akan datang selaras dengan teras ketiga, Rancangan Selangor 1 (RS-1) iaitu pemacuan kelestarian,” kata Ramli.

Suri rumah, Syakira Abu Samah, 34, berpandangan pelaksanaan aplikasi itu wajar dicontohi negeri lain.

“Saya tahu aplikasi ini daripada kawan-kawan. Tapi tak pernah gunakannya kerana tak tinggal di Selangor. Jika diikutkan iClean ni bagus sebab bantu orang ramai bersihkan sampah yang besar-besar sekali gus elakkan penduduk buang merata.

“Bayangkan kalau ada buang almari, sofa merata-rata, memang sakit mata. Kawasan sekitar pun jadi buruk. Saya harap negeri lain pun akan ada aplikasi memudahkan rakyat macam ini,” katanya.

Bersih sisa banjir

Pengurusan sisa pepejal dan pembersihan kawasan awam yang lebih cekap sangat diperlukan berikutan pertambahan penduduk, aktiviti masyarakat dan kekurangan tanah untuk tapak pelupusan,

Pada 2020, KDEBWM mengambil alih seluruh kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di 12 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Petugas KDEB Waste Management (KDEBWM) menggangkut timbunan barangan rosak akibat banjir di Padang Jawa, Shah Alam pada 23 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Melaluinya, pengurusan sisa pepejal dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan penjejak sistem pengesanan lokasi (GPS) membolehkan data operasi disalurkan terus ke sistem aduan berpusat di ibu pejabat KDEBWM.

Selain itu, KDEBWM juga terlibat dalam misi pembersihan pasca banjir di 110 kawasan terjejas pada Disember 2021.

Operasi ini membabitkan dua fasa, kutipan sisa banjir dan pembersihan longkang serta jalan raya.

Setakat 5 Januari 2022, lebih 77,000 tan sisa banjir dikutip bagi memastikan persekitaran kawasan terkesan pulih seperti sedia kala.

Dalam misi pembersihan banjir ini Kerajaan Negeri menyalurkan RM12.9 juta kepada KDEBWM.


Pengarang :