Kakitangan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi program Sesama Mara menyerahkan barangan keperluan sekolah kepada penghuni Rumah Penyayang Darul Ilmi Gombak pada 7 April 2023. Foto Facebook Air Selangor
AGENSISELANGOR

Air Selangor belanja RM459,154 bantu warga emas, anak yatim

SHAH ALAM, 6 JULAI: Sebanyak RM459,154 dibelanjakan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bagi melaksana tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi program Sesama Mara pada tahun lalu.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya Ir Abas Abdullah berkata peruntukan bagi menjayakan program kebajikan itu meningkat berbanding 2021 iaitu RM321,710.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Ir Abas Abdullah ketika sidang media selepas lawatan bersama media di LRA Semenyih 2 Dengkil, Sepang pada 18 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Program CSR ini bermula sejak pandemik Covid-19 dan masih diteruskan sehingga kini. Pada tahun lalu antara inisiatif diambil ialah kotak makanan, pembelajaran dalam talian untuk komuniti B40, lawatan ke rumah anak-anak yatim dan orang tua.

“Malah, semasa sesi lawatan ke rumah anak-anak yatim dan orang tua juga kita melakukan penggantian paip secara percuma,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kakitangan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi program Sesama Mara menyerahkan barangan dapur dan keperluan rumah kepada beberapa pusat jagaan warga emas sekitar Gombak dan Kuala Lumpur pada 7 April 2023. Foto Facebook Air Selangor

Ir Abas memaklumkan pada tahun ini pihaknya turut bercadang menawarkan aplikasi pembelajaran dalam talian secara percuma kepada lebih 100 calon Sijil Pelajaran Malaysia.

“Pemberian akses secara percuma ini di bawah program CSR Sesama Mara dan memfokuskan komuniti B40. Untuk permulaan, kita akan agihkan kepada anak kakitangan Air Selangor yang bakal menduduki SPM.

“Secara keseluruhannya, inisiatif yang dilaksana Air Selangor adalah bagi membantu semua pengguna di seluruh kawasan iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.


Pengarang :