Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Ir Abas Abdullah (dua, kiri) menunjukkan buku laporan kelestarian Air Selangor Sdn Bhd 2022 secara digital di The Garden Mall, Kuala Lumpur pada 4 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Air Selangor catat peningkatan pendapatan RM2.45 bilion pada 2022

PETALING JAYA, 4 JULAI: Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mencatat peningkatan pendapatan RM2.45 bilion tahun lalu berbanding RM2.18 bilion pada 2021, kata pemangku ketua pegawai eksekutifnya.

Ir Abas Abdullah berkata peningkatan 12.38 peratus itu direkodkan hasil pemulihan ekonomi negara selepas kelonggaran dan penghapusan sekatan Covid-19 serta pelarasan tarif air sejak Ogos tahun lalu.

“Selain pendapatan, Air Selangor juga merekodkan peningkatan operasi perbelanjaan (OPEX) iaitu daripada RM2.43 bilion pada 2021 kepada RM2.56 bilion, meningkat 5.26 peratus.

“Perbelanjaan modal (CAPEX) juga meningkat 88.21 peratus kepada RM2.58 bilion tahun lalu berbanding RM1.37 bilion pada 2021.

“Perancangan rapi dan teratur serta pelaksanaan berkesan pada tahun lalu menunjukkan peningkatan dalam menyepadukan inisiatif kelestarian dalam tadbir urus, pembiayaan dan operasi perniagaannya,” katanya ketika membentangkan laporan kelestarian 2022 di The Garden Mall, di sini hari ini.

Tambahnya Air Selangor juga menyelesaikan terbitan sukuk ketiga dan keempat di bawah Program Sukuk Murabahah RM10.0 bilion pada Julai dan September tahun lalu.

“Kedua-dua terbitan tersebut melibatkan jumlah RM900 juta dan RM400 juta setiap satu bagi membiayai projek yang layak termasuklah bekalan air dan pengurusan projek air secara lestari.

“Semuanya selaras dengan strategi kelestarian, perbelanjaan modal dan keperluan modal kerja Air Selangor,” katanya.


Pengarang :