Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap sempena Jelajah Mega Madani dan pelancaran Jentera Perpaduan di Laman Niaga Bandar Baru Bangi, Bangi, Hulu Langat pada 7 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar seru rakyat tolak pelampau agama, perkauman sempit

OLEH YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

BANGI, 8 JULAI: Perdana Menteri seru rakyat agar tidak biarkan negara dirosakkan oleh pelampau agama, pengkhianat dan perkauman sempit.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah pembangkang yang menakut-nakutkan pengundi dengan memainkan isu perlembagaan negara dan hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Islam di negara ini hanyalah fitnah besar terhadap kerajaan.

“Negeri Selangor tetap majoriti Melayu, kita akan terus pertahan perlembagaan yang memartabatkan bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu dan tiada tolak ansur mengenainya.

“Kita akan pertahankan Islam, kita lawan orang yang menunggang agama untuk berkuasa, menipu dan fitnah,” katanya ketika melancarkan Jentera Perpaduan Madani Selangor di sini malam tadi.

Beliau turut menambah bahawa sepanjang lapan bulan memimpin kerajaan, peruntukan untuk agama Islam yang ditambah langsung tiada bantahan dari DAP bahkan mendapat kerjasama penuh parti itu dalam apa-apa keputusan dibuat jemaah menteri.

Menurutnya, pelancaran jentera sempena menghadapi pilihan raya negeri (PRN) itu juga menandakan gabungan dua parti induk itu menempah peta politik nasional yang baru.

“Malam ini kita bina kekuatan dua gabungan parti induk terkuat di negara kita iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (HARAPAN) bersama GPS dan GRS.

“Dengan gabungan ini kita akan pastikan negara ini kembali kepada landasan parti, menegakkan hukum dan membanteras penyalahgunaan kuasa sekali gus mengangkat martabat rakyat dan negara supaya kembali hebat di rantau Asia,” katanya.

Beliau turut yakin bahawa Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah akan ditawan semula oleh HARAPAN dan BN.

“Kerajaan Perpaduan ini satu pasukan, tak boleh satu pihak saja kuat. Sebab itu saya kata kalau betul-betul sepakat seperti pengalaman HARAPAN dan BN sebelum ini, sudah tentu kita boleh pertahankan (negeri dalam PRN).

“Justeru, pada PRN kali ini, kita harus pastikan pengkhianat parti turut dimatikan kerjaya politik mereka dengan kemenangan ini,” katanya.


Pengarang :