Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan pendakwah terkenal dari Indonesia Ustaz Abdul Somad Batubara di Perdana Putra, Putrajaya pada 13 Julai 2023. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Anwar, Ustaz Abdul Somad bertemu bincang dinamik dakwah, isu agama

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan pendakwah terkenal dari Indonesia Ustaz Abdul Somad Batubara di pejabat beliau di bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Menerusi perkongsian di Facebooknya hari ini, Anwar berkata antara perkara dibincangkan dalam pertemuan bersama pendakwah berasal dari Sumatera Utara itu yang dalam rangka siri ceramah di Malaysia minggu ini ialah dinamik dakwah dan isu-isu agama yang merentas sempadan alam Melayu.

“Saya hargai usaha dakwah Ustaz Abdul Somad yang aktif khususnya di alam Melayu. Sesungguhnya para dai dan ulama di alam Melayu ini saling mendukung dan melengkapi pemerintahan umara sejak sekian lama.

“Peranan ulama Melayu seperti Syeikh Daud al-Fatani, Syed Abdul Samad al-Falimbani, Raja Ali Haji dan Buya Hamka punyai hikmah, kedalaman ilmu dan berani dalam melaksanakan dakwah telah menyumbang kepada perjuangan melawan penjajah serta benteng kepada akidah umat di rantau ini,” katanya.

Anwar berkata beliau dan Ustaz Abdul Somad juga bersependapat bahawa pentingnya dakwah yang berlandaskan kesederhanaan dan hikmah dalam menyampaikan mesej Islam dengan lebih bijaksana.

— BERNAMA

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan pendakwah terkenal dari Indonesia Ustaz Abdul Somad Batubara di Perdana Putra, Putrajaya pada 13 Julai 2023. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Pengarang :