AGENDAJENAYAH

Bayi perempuan maut dilanggar kenderaan dipandu sepupu

KEMAMAN, 9 JULAI: Bayi perempuan berusia setahun lima bulan maut selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda dipercayai dipandu sepupunya di rumah mereka di Kampung Darat Kolam, Kerteh di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata mangsa Syaza Syazwina Zahra Mohd Sazali parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.30 malam tadi. Siasatan awal mendapati kenderaan tersebut dipandu sepupu mangsa berusia 19 tahun.

“Kenderaan itu diparkir di hadapan rumah tersebut dan pemandu dikatakan sedang mengundur kenderaan untuk ke rumah bapa mentuanya di Rasau, Dungun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hanyan berkata dalam kejadian berkenaan, mangsa yang tinggal di rumah bersebelahan telah keluar tanpa pengetahuan ibunya dan berada di belakang kenderaan itu ketika ia sedang mengundur.

“Mangsa terkena tayar sebelah kiri kenderaan itu dan cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :