Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada program Ziarah Korban Aidiladha Parlimen Gombak di Padang Kampung Sungai Pusu, Gombak pada 1 JULAI 2023.. FOTO/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Bekalan makanan negara cukup hasil usaha keras Kerajaan Perpaduan

Oleh Nina Farzuin Md Sharom

GOMBAK, 2 JULAI: Kerajaan Perpaduan bekerja keras bagi memulih keadaan negara termasuk memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ini terbukti apabila masalah kekurangan bekalan terutama ketika sambutan Aidilfitri dan Aidiladha tidak timbul seperti tahun sebelumnya.

“Pada hari ini para pimpinan di peringkat negeri dan persekutuan sedang bekerja siang malam untuk bersama-sama pulihkan negara.

“Kita sudah pastikan bekalan barangan mencukupi walaupun dari segi harga kita masih dalam proses untuk selesaikan,” katanya pada program Jelajah Ziarah Korban Aidiladha parlimen Gombak di sini semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membantu penyembelihan lembu ketika program korban perdana bersama Yayasan Selangor di Kampung Pasir Hulu Kelang, Ampang Jaya pada 1 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin yang juga pengerusi Pakatan Harapan Selangor menambah Kerajaan Perpaduan berada di landasan yang betul dalam melaksanakan proses pemulihan negara.

“Di peringkat Kerajaan Negeri, kita ambil masa tiga hingga empat tahun untuk nampakkan hasil dari segi pencapaian manakala di peringkat pusat, walaupun hanya baru tujuh bulan kita sudah nampak perubahannya.

“Saya yakin rakyat kita bersikap rasional tapi kita masih perlu terangkan ini kerana ada pihak yang mengambil kesempatan sempena pilihan raya tidak lama lagi,” ucapnya.


Pengarang :