Ribuan Penyokong Kerajaan Perpaduan menghadiri Jelajah Mega Madani dan pelancaran Jentera Perpaduan di Laman Niaga Bandar Baru Bangi, Hulu Langat pada 7 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

BN tampil ramai calon muka baharu untuk pertahan Selangor

Oleh YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

HULU LANGAT, 8 JULAI: Barisan Nasional (BN) bakal menampilkan muka baharu sebagai calon untuk pilihan raya negeri (PRN) Selangor.

Pengerusinya berkata jentera BN juga sedaya upaya untuk membantu Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi memastikan Kerajaan Perpaduan terus kekal memerintah negeri itu.

Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap sempena Jelajah Mega Madani dan pelancaran Jentera Perpaduan di Laman Niaga Bandar Baru Bangi, Hulu Langat pada 7 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Pada 29 Julai ini kita (BN) akan mengemukakan calon-calon muka baharu kita bagi menandakan semangat baharu parti dan HARAPAN akan mengemukakan calon-calon kita.

“Terima kasih kepada HARAPAN kerana terus memberi peluang kepada BN untuk menjadi calon di beberapa kerusi,” kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena majlis Pelancaran Jentera Perpaduan Selangor, malam tadi.

Timbalan Perdana Menteri itu turut yakin bahawa Kerajaan Perpaduan di Selangor akan dapat dibentuk dan BN akan menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan gimik pelancaran Jentera Perpaduan di Laman Niaga Bandar Baru Bangi, Bangi, Hulu Langat pada 7 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Jelas Ahmad Zahid, sekiranya Kerajaan Perpaduan dapat mengambil alih Kelantan, mereka akan membantu memajukan negeri itu sebagaimana kemajuan yang dicapai di Selangor.

“Kita mahu melihat bahawa bukan sahaja Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, tetapi kita yakin jika inilah manifestasi diperlihatkan, di Kedah, Terengganu dan Kelantan juga rakyat mahukan Kerajaan Perpaduan.

“Kalau kita berjaya ambil alih Kelantan, kita akan majukan Kelantan. Apa yang penting pada 12 Ogos ini kita akan membuktikan bahawa manifesto kita tawarkan kepada keenam-enam negeri ini akan dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menghormati keputusan MCA dan MIC yang tidak mahu bertanding sebarang kerusi pada PRN ini.

“Walaupun rakan-rakan MCA dan MIC telah membuat keputusan untuk tidak mengemukakan mana-mana calon. Saya menghormati bahawa mereka akan tetap bersama BN dan mendukung semua calon-calon Kerajaan Perpaduan di enam negeri.

“Kepada seluruh jentera parti, ayuh kita lupakan perbedaan kita selama ini. Apa yang lebih penting ialah titik persamaan dan memastikan kemenangan Kerajaan Perpaduan di Selangor ini dapat kita hadiahkan kepada Perdana Menteri,” katanya.


Pengarang :