Pemandangan dari udara Sungai Taladas selepas tragedi kepala air di Jeram Air Putih ketika tinjauan di Kampung Teladas, Kemaman pada 4 Julai 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Bomba terbangkan dron berkeupayaan tinggi mudahkan operasi SAR tragedi kepala air

CHUKAI, 5 JULAI: Penggunaan teknologi dron pada hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi kepala air Jeram Air Putih di sini, membantu memudahkan pasukan pencarian mengesan dua lagi mangsa yang belum dijumpai.

Komander Operasi Unit Dron dari Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur Muhammad Mohd Taufiq Abd Satar berkata pemantauan menggunakan dron berkeupayaan tinggi Matrice 210 itu dibuat di sekitar sektor B hingga sektor C hari ini.

“Kami diberikan tugasan untuk pemantauan di sektor ini yang merupakan lokasi terakhir orang awam melihat satu mayat terapung semalam.

“Dari sini kami akan buat pemantauan udara secara berkala dan pengesanan di lokasi strategik yang pasukan SAR sukar untuk sampai seperti di bawah jambatan atau kawasan yang banyak halangan kayu,” katanya ketika ditemui di tebing Sungai Seberang Tayor di sini, hari ini.

Beliau berkata dron itu mempunyai kamera imej terma yang berupaya mengenal pasti objek dengan kesan haba terutamanya pada waktu malam selain berkebolehan zum dari jarak jauh.

“Sebagai eyes on the sky, dron yang digunakan ini mampu bergerak sejauh 10 kilometer (km) dengan cepat. Apabila dapat maklumat penemuan mangsa di dalam kawasan yang seluas ini, kita boleh gerakkannya dengan segera sekali gus menjimatkan masa.

“Pada masa sama, melalui operasi pada hari ini membolehkan kami mendalami aspek kemampuan dron ini untuk memberi perkhidmatan terutamanya mengesan mangsa sewaktu SAR,” katanya.

Sebelum ini, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang dilaporkan datang berkelah di Jeram Air Putih pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.

Operasi SAR mencari 10 mangsa tragedi kepala air itu telah dimulakan pada Ahad dengan lapan mayat telah ditemukan setakat ini dan operasi mengesan dua lagi mangsa iaitu Putri Nur Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24, giat dijalankan.

– BERNAMA


Pengarang :