Penyerahan hadiah utama cabutan bertuah cukai taksiran MPAJ 2023 oleh EXCO Perumahan Rodziah Ismail kepada Masuod Sukhimi dan Kee Bak Loon iaitu motosikal Honda Vario 160 dalam program Ampang Jaya Night Run 2023 pada 15 Julai 2023. Foto Ihsan MPAJ
PBTSELANGOR

Cabutan bertuah untuk pembayar cukai taksiran MPAJ bernilai lebih RM300,000

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

SHAH ALAM, 21 JULAI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menggalakkan penduduk menjelaskan cukai taksiran seterusnya melayakkan diri dalam cabutan bertuah anjuran pihak berkuasa tempatan itu.

MPAJ berkata pembayar cukai layak menyertai cabutan bagi penggal kedua bermula September hingga Disember 2023 jika mereka menjelaskan cukai bermula 1 Julai hingga 31 Ogos 2023.

“Sempena Kempen Merakyatkan MPAJ, cabutan bertuah cukai taksiran MPAJ menawarkan 112 hadiah bulanan dan empat hadiah utama keseluruhan bernilai lebih RM300,000 buat pemenang bertuah.

“58 pembayar cukai di kawasan MPAJ yang bertuah telah dipilih untuk memenangi hadiah bulanan serta hadiah utama yang ditawarkan sepanjang Mac hingga Jun 2023,” katanya.

Pada 15 Julai lalu, penyerahan hadiah utama cabutan bertuah penggal pertama berupa motosikal kepada dua pemenang iaitu Masuod Sukhimi dan Kee Bak Loon oleh Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail.

Cabutan bertuah penggal pertama yang diadakan sepanjang Mac hingga Jun 2023 telah melibatkan 44,943 akaun bagi cabutan bertuah bulanan manakala cabutan bertuah hadiah utama pula melibatkan 3,742 akaun pemilik harta.

Hadiah bulanan seperti TV Samsung 49 inci, Thermomix TM6, mesin basuh Elba, mountain bike dan komputer riba Lenovo menanti pemenang bagi cabutan bertuah bulanan manakala dua lagi hadiah utama motosikal Honda Vario 160 bakal dimiliki pemenang bertuah bagi penggal kedua yang akan diumumkan pada hujung Disember 2023.

Pemilik harta di kawasan MPAJ perlu mendaftar akaun ICOMM dan menjelaskan cukai taksiran MPAJ mengikut tempoh ditetapkan iaitu bermula 1 Julai sehingga 31 Ogos 2023 bagi penggal kedua tahun ini untuk melayakkan menyertai cabutan tersebut.

Semakan dan bayaran cukai taksiran MPAJ boleh dibuat melalui pelbagai cara antaranya melalui akaun ICOMM, JomPay atau di Kaunter dan Kiosk Aras 4, Menara MPAJ.


Pengarang :