Calon HARAPAN DUN Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli bersama Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar beramah mesra dan bergambar bersama pengunjung serta pekerja di pusat membeli-belah Melawati Mall pada 30 Julai 2023. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calon DUN Hulu Kelang mampu teruskan agenda kebajikan wanita

GOMBAK, 31 JULAI: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli diyakini membantu meneruskan agenda kebajikan wanita di negeri ini.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Nurul Izzah Anwar berkata pengalaman yang ada pada Juwairiya mampu membawa perubahan kepada landskap DUN berkenaan.

“Kita tahu Selangor merupakan antara negeri utama yang mempelopori agenda berkebajikan termasuk kepada hak kanak-kanak, wanita dan pelbagai program seperti subsidi dan geran tambahan.

“Ditambah pula dengan latar belakang beliau merupakan anak jati Hulu Kelang, saya percaya dengan pengalaman dibawanya itu nanti akan membawa kejayaan kepada beliau,” katanya pada program walkabout bersama Juwairiya di Melawati Mall di sini semalam.

Juwairiya bakal bertemu pesaingnya Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada hari mengundi 12 Ogos ini.

Nurul Izzah turut menggesa orang ramai keluar mengundi untuk memastikan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan.

“Golongan wanita yang layak mengundi juga digesa datang beramai-ramai bagi memastikan kemenangan berpihak kepada HARAPAN dan BN,” katanya.

Calon BN DUN Dengkil Noorazli Said beramah mesra dengan masyarakat orang asli ketika melakukan sesi suai kenal calon di Balai Raya Kampung Orang Asli Batu 28, Jenderam Hilir Sepang pada 30 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Sementara itu, calon BN kerusi Dengkil Noorazli Said berharap pengundi memberi peluang kepada beliau untuk berkhidmat agar lebih banyak bantuan dapat disalur selain melaksanakan dasar lebih baik buat rakyat.

“Melalui gabungan sokongan parti terbesar HARAPAN-BN kita harap dapat mengembalikan Dengkil bersama dengan Kerajaan Perpaduan.

“Berilah peluang kepada saya untuk membuktikan apa yang dihajati dapat direalisasikan. Saya mohon sepenuhnya sokongan tidak berbelah bahagi daripada masyarakat khususnya pengundi di Dengkil,” katanya ketika ditemui.

DUN Dengkil menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Noorazli, Datuk Seri Jamil Salleh (Perikatan Nasional), Darren Ong (Parti Sosialis Malaysia) dan Datuk Mohd Daud Leong Abdullah (Parti Utama Rakyat).

 


Pengarang :