Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Pecah Tanah Rumah Idaman Cahaya dan Pelancaran Rumah Idaman Sari di Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam pada 28 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calon HARAPAN Hulu Kelang mampu atasi Azmin, miliki jentera kuat

SHAH ALAM, 28 JULAI: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Juwairiya Zulkifli mempunyai kelebihan untuk memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang dengan kekuatan jentera dan kempen yang baik.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keyakinan itu dapat dilihat dengan sokongan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semakin merosot.

“Selepas beliau (Azmin) meninggalkan KEADILAN lebih 70 peratus jentera yang berada dalam pasukan beliau telah tiada.

“Selepas Azmin tewas (Parlimen Gombak) saya jangkakan beliau telah kehilangan seluruh jentera dan pasukan dari Bersatu Gombak di bawah pimpinannya.

“Beliau bergantung sepenuh jenteranya dari parti PAS,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Rumah Idaman Cahaya di Cahaya Alam di sini hari ini.

Amirudin turut yakin dengan kelebihan Juwairiya yang merupakan anak tempatan yang menetap di kawasan berkenaan selain membesar, bersekolah dan keluarganya juga tinggal di sana.

“Dengan kekuatan jentera KEADILAN dibantu dari AMANAH di Hulu Kelang akan membantu calon kita.

“Saya percaya akan ada satu persaingan sihat dan sangat sengit dan kita harap dapat membuahkan hasil dan mencapai kemenangan dengan beberapa kempen yang dijalankan nanti,” katanya.

Hari penamaan calon pilihan raya negeri Selangor, dan lima negeri lain ditetapkan pada 29 Julai ini. Hari mengundi pula pada 12 Ogos.


Pengarang :