Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan taklimat kepada penduduk Sungai Chinchin mengenai rancangan pembangunan Masjid Sungai Chichin Gombak pada 24 Julai 2023. FOTO MOHD ARIF/SELANGORKINI.
ADNSELANGOR

Dana RM15 juta bina masjid Kampung Sungai Chinchin, boleh muat 2,000 jemaah

Oleh JULIANA JOHAR

GOMBAK, 24 JULAI: Dana sejumlah RM15 juta diperuntuk bagi pembinaan masjid baharu Kampung Sungai Chinchin di sini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato Seri Amirudin Shaari berkata pembinaan di atas tanah tiga ekar itu akan segera dilaksanakan sebaik proses pewartaan diselesaikan.

“Kerajaan Negeri akan beri peruntukan awal sebanyak RM7 juta. Lebihan itu nanti (RM8 juta) akan ditambah dari semasa ke semasa ketika pembinaan dijalankan.

“Selepas selesai pewartaan, projek akan terus digerakkan secepat mungkin pada tahun ini atau awal tahun depan,” katanya kepada Selangorkini.

Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua itu berkata masjid lama kampung tersebut akan dibangunkan sebagai tapak warisan Islam negeri.

“Untuk masjid lama pula, kita akan jadikan ia sebagai tapak warisan Islam Selangor yang mana khususnya untuk penduduk di daerah Gombak.

“Kita mungkin jadikan sebagai pusat perkembangan Islam dengan adanya madrasah dan tadika di situ,” katanya.

Masjid baharu tersebut boleh memuatkan 2,000 jemaah dalam satu masa berbanding masjid lama iaitu seramai 600 jemaah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hadir di majlis taklimat pembangunan Masjid Sungai Chinchin Gombak pada 24 Jualai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Pengarang :