Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Ngar Kor Ming meninjau sekitar taman dan melihat beberapa kerosakan ketika lawatan kerja Program Sentuhan Kasih KPKT ke Selangor di Taman Tasik Cempaka, Hulu Langat pada 11 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dua PBT di Selangor terima RM8.24 juta naik taraf kemudahan awam

HULU LANGAT, 11 JULAI: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntuk RM8.24 juta bagi enam projek menaik taraf infrastruktur awam di dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

Menterinya Nga Kor Ming berkata agihan kepada Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Bandaraya Subang Jaya membolehkan projek itu dimulakan segera dan dijangka siap selewat-lewat tahun depan.

“Keseluruhan dana naik taraf kemudahan awam dan infrastruktur ini berlandaskan pelaksanaan bagi memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT terhadap rakyat terus dipertingkat.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Ngar Kor Ming bercakap ketika sidang media lawatan kerja Program Sentuhan Kasih KPKT ke Selangor di Taman Tasik Cempaka, Hulu Langat pada 11 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“KPKT akan sentiasa bekerjasama dengan PBT seluruh Malaysia bagi merealisasi perancangan pembangunan demi meningkatkan mutu perkhidmatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Ditemui pada program Sentuhan Kasih KPKT sini hari ini, Kor Ming berkata projek meliputi kerja membaiki jalan dan menaik taraf kemudahan Taman Tasik Cempaka berjumlah RM790,000.

Turut diselenggara ialah Pasar Bazar Rakyat di Seri Kembangan berjumlah RM300,000 selain pembinaan pejabat, tandas dan struktur berbumbung di Laman Niaga Komuniti Sungai Long (RM650,000).

Projek lain termasuk kerja kecemasan pembaikan cerun runtuh di Taman Sri Raya Cheras (RM1.5 juta), Taman Bukit Mewah Kajang (RM2 juta) dan Taman Lagenda Cheras (RM3 juta).

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak RM700 juta diperuntuk kementerian terbabit untuk menyelenggara dan menaik taraf infrastruktur awam di sembilan negeri.


Pengarang :