Penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika Jualan Ehsan Rahmah DUN Bukit Antarabangsa di tapak pasar malam Ukay Perdana, Ampang Jaya pada 27 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ampang, Kuala Selangor antara sembilan lokasi jualan murah esok

OLEH NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 5 JULAI: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga murah diteruskan ke sembilan lagi tempat esok.

Bermula jam 10 pagi, program diadakan di Balai Raya MPKK Bukit Kerayong kawasan parlimen Kuala Selangor, pekarangan Pejabat MPKK Sungai Yu (Tanjong Karang); Felda Sungai Tengi (Hulu Selangor); Padang Serbaguna Taman Sekamat (Bangi).

Program sama turut diadakan di Dewan MPAJ Kampung Ampang Indah dan Pangsapuri Ukay Indah (Ampang), Dataran Pekan Bagan Terap (Sabak Bernam); Surai Al-Falah, Taman Serambai (Kuala Selangor) serta Dewan Orang Ramai Jalan Palembang (Kapar).

Jualan murah berkenaan adalah kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat sebelum ini yang dijenamakan semula pada 1 Jun dan diteruskan hingga Disember depan, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Orang ramai boleh menyemak lokasi terkini JER seluruh negeri, setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR Jadual JER pada imej infografik PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :