Penyandang DUN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berucap pada pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Bilik Gerakan Utama di Kuala Selangor pada 9 Julai 2023. Foto Facebook Thiban Subbramaniam
AGENDANASIONAL

DUN Bukit Melawati lancar jentera pilihan raya, tekad kekal lima tahun lagi

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 9 JULAI: Jentera Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Penyandang DUN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berkata dengan pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Bilik Gerakan Utama malam ini ia sebagai tekad menyahut seruan Kerajaan Perpaduan yang harus kekal untuk lima tahun akan datang.

“Kita zahirkan dengan berkumpulnya semua jentera Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) membuktikan tekad perjuangan bersama bagi memastikan pentadbiran Kerajaan MADANI yang ada pada hari ini kekal sebagai cerminan ditunjukkan pada peringkat negeri, cabang dan kawasan.

“Mungkin malam ini bagaikan perjumpaan pertama program PH dan BN di Kuala Selangor, tetapi kita akan berganding bahu untuk mengekalkan DUN Bukit Melawati, DUN Ijok dan DUN Jeram di ‘tangan’ Perpaduan Parlimen Kuala Selangor untuk lima tahun akan datang,” katanya.

Majlis pelancaran itu dihadiri Ahli Parlimen Kuala Selangor merangkap Pengerusi Pakatan Harapan Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Ketua Bahagian Barisan Nasional Kuala Selangor, Dato’ Jahaya Ibrahim, Ahli Parlimen Segamat selaku ahli parlimen angkat, R Yuneswaran.

Acara simbolik memotong riben Bilik Gerakan Utama disempurnakan Dr Dzulkefly mewakili HARAPAN manakala BN, Jahaya.

Pada 25 Jun 2023 Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Jentera HARAPAN Selangor bagi mendepani PRN tidak lama lagi.

Pada 23 Jun lalu Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan sekali gus membuka laluan kepada PRN untuk diadakan.


Pengarang :