Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunarajah meninjau program Pemberian Cermin Mata Percuma di VO Optics di Sentosa, Klang pada 19 Februari 2023. Foto Facebook ADUN Sentosa YB Gunaraj
ADNSELANGOR

DUN Sentosa belanja lebih RM350,000 baik pulih kemudahan sekolah, anjur program pendidikan

SHAH ALAM, 11 JULAI : Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa memperuntuk kira-kira RM200,000 bagi membaik pulih dan menaik taraf prasarana sekolah di kawasan itu.

Penyandang kerusi DUN Sentosa Dr G Gunaraj berkata sebanyak 18 sekolah berada dalam DUN berkenaan menerima manfaat tersebut termasuk sekolah agama.

Maklum beliau, sejumlah RM150,000 turut disalurkan untuk menganjurkan program dan sumbangan berbentuk pendidikan.

“Antara kemudahan sekolah yang berjaya diberi wajah baharu termasuklah padang, laluan pejalan kaki, bumbung dan dewan.

“Semoga pelajar dan guru dapat memanfaatkan sebaiknya prasarana itu selain mengelak daripada melakukan vandalisme,” katanya kepada Selangorkini.

Dalam perkembangan sama, Gunaraj berkata isu pendidikan memang menjadi tumpuan utama pihaknya bagi memastikan anak di DUN Sentosa tidak tercicir.

“Antara yang berjaya dilaksanakan adalah program trek pendidikan iaitu membantu kanak-kanak buta huruf berusia tujuh hingga 12 tahun supaya tahu mengeja dan membaca.

“Setakat ini lebih 30 kanak-kanak berjaya kita bantu yang mana mereka kini sudah boleh membaca dan mengeja tanpa bantuan. Turut dilaksanakan program berbentuk latihan kepada pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Setiap tahun DUN Sentosa memang tidak terlepas daripada menganjurkan program pendidikan dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan, guru, pensyarah. Ini semua demi masa depan anak di DUN Sentosa,” katanya.

 


Pengarang :