Penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika Jualan Ehsan Rahmah DUN Teratai di Masjid Nurussaadah, Ampang Jaya pada 3 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

DUN Teratai sentiasa pastikan lokasi jualan murah strategik, selesa buat pengunjung

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

AMPANG JAYA, 3 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai sentiasa memastikan lokasi Jualan Ehsan Rahmah (JER) strategik dan selesa untuk pengunjung di sepanjang penganjurannya.

Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya R Moganraj berkata selain memastikan pengunjung berbelanja dalam keadaan selesa, pihaknya turut memastikan lokasi jualan murah lengkap dengan kemudahan parkir.

Ahli Majlis MPAJ R. Moganraj Renganathan

“Kita mengutamakan keselesaan pengunjung selain lokasi yang strategik untuk semua berpeluang berbelanja keperluan asas mereka.

“Seperti di Zon 21 ini, saya pastikan lokasi JER adalah berdekatan penduduk DUN Teratai selain tapak luas seperti di perkarangan masjid dan kawasan sekolah,” katanya.

Ditemui pada JER DUN Teratai di perkarangan Masjid Nurussaadah, Kampung Cheras Baharu di sini, Mohanraj berkata lebih 5,000 individu mengunjungi jualan murah di DUN berkenaan sepanjang tahun lalu.

Penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika Jualan Ehsan Rahmah DUN Teratai di Masjid Nurussaadah, Ampang Jaya pada 3 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Rata-rata pengunjung memberi maklum balas positif malah kita juga berharap jika barangan keperluan asas yang dijual dapat ditambah seperti bahan kering iaitu gula, tepung dan bihun.

“Sistem penjualan juga ditambah baik berbanding sebelum ini dan ia memudahkan pengunjung walaupun perlu beratur panjang namun mereka hanya mengambil masa sekejap untuk membeli bahan mentah yang diperlukan,” katanya lagi.

Sementara itu, Penyelia Unit Jualan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Muhammad Farid Mustafa berkata program jualan murah terus meraih sokongan ramai dengan 400 ayam terjual dalam tempoh dua jam.

Penyelia Unit Jualan PKPS Muhammad Farid Mustafa

“Kita masih hadkan pembelian telur dan dua ekor ayam setiap seorang supaya semua pengunjung dapat memperoleh barang keperluan masing-masing.

“Trend pembelian juga adalah berbeza di setiap lokasi. Ada kala di sesuatu lokasi ayam akan laris berbanding bahan mentah lain namun ada juga lokasi yang dilihat minyak masak mendapat permintaan tinggi apabila ia dijual habis terlebih dahulu,” katanya.

JER DUN Teratai diteruskan dengan di Taman Muda, Ampang dan SK Pandan Perdana pada 4 dan 5 Julai ini.


Pengarang :