AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Seminar cakna halal bantu anak muda peka pilih produk, perkhidmatan 

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 3 JULAI: Penganjuran Seminar Mahasiswa Cakna Halal yang dijadual berlangsung Sabtu ini bertujuan memberi kefahaman dan kesedaran kepada anak muda mengenai produk dan perkhidmatan halal di negara ini.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pihaknya melihat keperluan untuk menganjurkan seminar berkenaan memandangkan umat Islam di negara ini terdedah dengan pelbagai produk makanan , kesihatan dan perkhidmatan daripada pelbagai perusahaan dari dalam atau luar negara.

EXCO Hal Ehwal Agama Mohd Zawawi Ahmad Mughni dalam sesi wawancara bersama Media Selangor di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Ini adalah antara kebimbangan utama kita, umat Islam tidak peka dalam membuat pilihan halal. Justeru perlu ada pendedahan umum supaya masyarakat menyedari pilihan dibuat bagi mengelak perkara haram dan meragukan.

“Selaras usaha pentadbiran negeri menjadikan Selangor sebagai hab halal global, seminar ini memberi tumpuan agar mahasiswa peka terhadap isu halal bagi memperkasakan pelaksanaan agenda halal di negeri ini,” katanya ketika dihubungi.

Zawawi berkata program anjuran Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (Pepias) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menyasarkan golongan mahasiswa dilihat sebagai langkah bijak memandangkan teknologi digital kini dikuasai anak muda.

Menurut penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, anak muda khususnya mahasiswa boleh menyebarkan maklumat mengenai isu halal dengan mudah dan cepat.

“Kebimbangan kita dizahirkan menerusi seminar akademik mengenai isu halal bagi mengelakkan kemunculan generasi yang lemah akibat pengambilan makanan haram.

“Perkara ini jelas disebutkan dalam al-Quran dan hadis tentang akibat pengambilan makanan dan perbuatan haram boleh merosakkan hati dan akal selain mengurangkan iman merosakkan keturunan dan menzalimi diri sendiri,” katanya.

Menyasarkan lebih 300 mahasiswa menyertai program terbabit, Zawawi berkata ia juga bertujuan meningkatkan pengetahuan peserta mengenai peranan mereka dalam industri halal bagi menambah baik kualiti umat Islam.


Pengarang :