Kejohanan e-Sukan Robotik Selangor XTIV di tapak parkir pasar raya Econsave Paya Jaras Sungai Buloh pada 15 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Syor beri peluang pelajar bergiat aktif e-sukan, lahir bakat baharu

SHAH ALAM, 16 JULAI: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disyor membuka platform kepada pelajar sekolah untuk bergiat aktif dalam sukan elektronik.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata bidang itu wajar ditekankan di peringkat sekolah bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu yang mampu bersaing pada kejohanan berprestij.

“Mengambil kira perkembangan semasa, saya rasa sudah tiba masanya KPM membuka platform e-sukan kepada pelajar supaya mereka dapat mewakili sekolah ke kejohanan besar seperti Sukan Malaysia (SUKMA).

“Peluang ini harus diberikan pada masa depan memandangkan e-sukan bukan satu permainan seperti kita zaman kecil-kecil dahulu sebaliknya ia sukan melibatkan peringkat negeri dan tinggi,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Kemahiran e-Sukan Robotik XTIV Selangor di tapak parkir Econsave, Paya Jaras, Sungai Buloh di sini semalam.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman beramah mesra bersama peserta kejohanan e-Sukan Robotik Selangor XTIV di tapak parkir pasar raya Econsave Paya Jaras Sungai Buloh pada 15 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Penyandang Dewan Undangan Negeri Paya Jaras itu turut mengakui cabaran menangkis tanggapan segelintir ibu bapa bahawa permainan dalam talian tidak menjamin masa depan anak-anak mereka.

Mohd Khairuddin menjelaskan ada kalangan peserta Selangor XTIV Virtual yang dianjur Kerajaan Negeri sejak beberapa tahun lalu dijemput syarikat e-sukan dan diberi bayaran tinggi setiap bulan.

“Cabaran perlu diselesaikan ketika ini bagaimana memberi kefahaman kepada ibu bapa yang e-sukan ini sebenarnya penting sebab ramai beranggapan ia permainan ganas, lalai dan buang masa,” katanya.


Pengarang :