Orang ramai mengharungi jalan yang dinaiki air susulan hujan lebat di New Delhi, India, pada 8 Julai 2023. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Fenomena hujan lebat di India, Wisma Putra giat kesan 12 rakyat Malaysia

PUTRAJAYA, 12 JULAI: Kementerian Luar (Wisma Putra) sedang giat menyelaras usaha mengesan sekumpulan 12 rakyat Malaysia yang tidak dapat dihubungi oleh keluarga masing-masing selepas fenomena hujan lebat yang melanda wilayah utara India pada Ahad.

Dalam kenyataan pada Rabu, Wisma Putra berkata usaha mengesan dilaksanakan melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dengan kerjasama pihak berkuasa India.

Menurutnya, pihak suruhanjaya tinggi dimaklumkan bahawa kumpulan berkenaan sedang menyertai ekspedisi pengembaraan di Hampta Pass, Himachal Pradesh.

“Sebarang perkembangan terkini mengenai status rakyat Malaysia yang terkesan dalam kejadian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di India akan terus memantau perkembangan di Himachal Pradesh dan menasihatkan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular untuk berhubung melalui talian +91 85955 50594 atau email ke [email protected].

Wisma Putra juga menasihatkan rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati dan terus berwaspada serta sentiasa mengikuti perkembangan cuaca di setiap lokasi yang dikunjungi.

Menurut laporan media tempatan, sekurang-kurangnya 31 orang maut di negeri Himachal Pradesh akibat fenomena hujan lebat, manakala ratusan pelancong terkandas di daerah Lahaul-Spiti dan Mandi.

-BERNAMA


Pengarang :