Pengarah Bahagian Produksi Tourism Malaysia, Datin Rafidah Idris (dua kanan) bersama Pengarah Festival, Nurashikin Zaharuddin (tiga kanan) dan rakan stratigik bergambar bersama selepas majlis sidang media Festival Dokumentari Antarabangsa Walk The Doc 2023 di Glo Damansara, Kuala Lumpur pada 25 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Festival Dokumentari Antarabangsa terima 200 penyertaan, hadiah utama geran RM5,000

OLEH JULIANA JOHAR

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Sebanyak 200 video dokumentari bakal dipertandingkan menerusi Walk The Doc: Festival Dokumentari Antarabangsa yang menawarkan hadiah utama berbentuk geran RM5,000.

Pengarah festival, Nurashikin Zaharuddin berkata penyertaan acara yang dijadual berlangsung pada 1 hingga 3 Ogos di Langkawi, Kedah itu meningkat berbanding 70 video sahaja dipertandingkan tahun lalu.

“Untuk tahun kedua penganjuran Festival Dokumentari Antarabangsa, pihak kami telah menerima 200 video penyertaan daripada peserta dalam dan luar negara.

“Malam kemuncak itu nanti, sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu Dokumentari Terbaik dan Anugerah Khas Juri yang mana masing-masing akan bawa pulang ganjaran geran wang RM5,000 bagi mereka meneruskan lagi kerja-kerja pembikinan dokumentari pada masa hadapan.

“Kami sangat berbesar hati menganjurkan festival ini bersandarkan objektif untuk memperbanyakkan lagi dokumentari yang menyerlahkan unsur-unsur keindahan dalam sesebuah negara,” katanya pada sidang media festival itu di Worq, Taman Tun Dr. Ismail, semalam.

Kesemua video yang dipertandingkan bakal diadili empat juri berpengalaman dari Malaysia, Jepun, Itali dan Turkiye.

Sementara itu, Pengarah Produksi Tourism Malaysia Datin Rafidah Idris berkata penganjuran festival ini dapat menggalakkan lagi penyedia kandungan tempatan untuk menunjukkan keindahan pelbagai lokasi menarik yang ada ditawarkan di Malaysia kepada orang luar.

“Selain itu, peserta juga boleh belajar pelbagai teknik menarik dalam pembikinan video dokumentari menerusi bengkel kelas yang akan diadakan sepanjang tiga hari festival itu berlangsung nanti,” katanya.

Walk The Doc: Festival Dokumentari Antarabangsa dianjurkan Walkabout Asia dengan kerjasama Tourism Malaysia, Finas dan Think City Yayasan Hasanah.


Pengarang :