GOMBAK, 28 JULAI: Pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang terus berdiam diri terhadap perbuatan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membuktikan mereka gagal mempertahankan institusi raja.
Justeru, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari mengajak rakyat menolak PN dalam pilihan raya negeri (PRN) berikutan sikap kurang ajar mereka kepada raja.
“(DYMM) Sultan dicerca, rakyat Selangor kena bangkit, tolak PN yang kurang ajar dan biadab kepada raja,” katanya dalam program Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri Rawang malam tadi.
Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar menyifatkan pemimpin PN mengalami sindrom penafian dan modal politik berikutan pencapaian cemerlang Kerajaan Selangor yang ditadbir HARAPAN.
Sebelum ini, bekas Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Azmin Ali menyangkal hujah HARAPAN bahawa rizab Selangor terus meningkat di bawah pentadbiran Amirudin.
“Mereka mula agresif dan cuba pengaruhi rakyat dengan melontarkan kononnya kerajaan gagal dan tidak berupaya. Azmin kata Selangor mundur, saya jawab dengan angka dan sebut pada 2022 pelaburan sampai RM60 bilion sedangkan ketika dia (Azmin) jadi MB tak dapat pun.
“Apabila kita jawab, dia kata Amirudin angkuh dan sombong sedangkan jawapan berdasarkan fakta. Jangan ingat semua orang boleh kena tipu dan terperdaya,” katanya lagi.
Pada 27 Jun lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengeluarkan data menunjukkan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor meningkat kepada 25.5 peratus pada 2022, bertambah lebih baik daripada 24.8 peratus pada tahun sebelumnya.
Pertumbuhan ekonomi negeri ini juga meningkat sebanyak 11.9 peratus, melebihi pertumbuhan seluruh negara pada kadar 8.7 peratus tahun lalu.
Sepanjang lima tahun bawah pemimpinan Amirudin, Selangor meraih pertumbuhan ekonomi dengan penambahan hasil negeri, rizab dan pendapatan isi rumah terus menaik selain kadar pengangguran terkawal.