Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (tiga kiri) ditemani Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman (kiri) melihat pameran di Perpustakaan peringatan Siddiq Fadzil di Unisel kampus Bestari Jaya pada 6 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Guru dilantik petugas SPR siap sedia depani PRN di enam negeri

OLEH DIANA ABD WAHAB

KUALA SELANGOR, 6 JULAI: Semua guru yang dilantik sebagai petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersiap siaga mendepani enam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata semua urusan berkaitan pelaksanaan diselesaikan terutama berkait jumlah guru dan sekolah yang akan digunakan kelak.

“Ini proses dan tatacara biasa setiap kali pilihan raya. Apa yang penting kita memang sudah siap sedia sepenuhnya dan pengumuman lanjut akan dibuat secara berperingkat,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil di Universiti Selangor (Unisel) Bestari Jaya di sini hari ini.

Sementara itu, Fadhlina berkata sesi libat urus sering diadakan berhubung keputusan mengembalikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Beliau menjelaskan tindakan itu bagi memastikan keputusan terbaik sama ada perlu diadakan semula atau sebaliknya untuk menentukan hala tuju pendidikan negara.

“Dua peperiksaan ini sentiasa ditimbulkan dalam sesi libat urus. Kita sudah selesai konvensyen pentaksiran dan hala tuju pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.

Jelasnya, Konvensyen Pendidikan Islam dan beberapa lagi inisiatif khususnya membabitkan jawatankuasa kritikal bagi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 turut diadakan.


Pengarang :